KIWI ( Kita Wajib Iman )
1. Allah mengurniakan ketenangan yang sebenar.
Dalam menghadapi suasana kehidupan yang mencabar , ketabahan dan ketenangan hati adalah merupakan keperluan utama. Tanpanya manusia akan mudah kecewa dan berasa resah sehingga kehidupannya menjadi tidak tenteram dan akhirnya menimbulkan banyak kerosakan kepada dirinya. Firman Allah s.w.t. …iaitu orang -orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenteram ( Surah ar Ra'd 28)
Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah disamping keimanan mereka ( yang telah ada) dan kepunyaan Allahlah tentera langit dan bumi dan adalah Allah maha mengethui lagi maha Bijaksana. ( s. al Fath 4)
هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ السَّكِينَةَ فِي قُلُوبِ الْمُؤْمِنِينَ لِيَزْدَادُوا إِيمَانًا مَعَ إِيمَانِهِمْ ۗ وَلِلَّهِ جُنُودُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
2. Allah memelihara dan melindungi orang beriman.
Ketika orang yang beriman melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangannya sudah pasti dia berhadapan dengan musuh-musuh yang sentiasa cuba menggagalkan usaha orang beriman yang murni itu. Allah sentiasa menjaga dan memelihara orang yang beriman. Firman Allah s.w.t.; Dan adalah menjadi kewajiban ke atas Kami menolong orang mukmin. ( s. al Rum 47)
وَكَانَ حَقًّا عَلَيْنَا نَصْرُ الْمُؤْمِنِينَ
3. Allah memberkati ucapan yang baik dari orang beriman.
Ucapan, teguran atau nasihat dari orang beriman ember kesan yang mendalam di dalam hati orang yang mendengarnya kerana perbuatan dan percakapan orang beriman sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t.; Allah meneguhkan iman orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki. ( s. Ibrahim 27)
يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ ۖ وَيُضِلُّ اللَّهُ الظَّالِمِينَ ۚ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ
4. Allah mengurniakan petunjuk (jalan kehidupan yang sebenar).
Apabila orang beriman bersungguh-sungguh beramal saleh dengan sepenuh keikhlasan dan ketaqwaan, Allah akan sentiasa membimbingnya dan menunjukkannya ke kehidupan yang baik yang diredhaiNya. Firman Allah s.w.t.; Allah wali yang memimpin orang-orang yang beriman dikeluarkan Nya mereka dari gelap gelita ke dalam nur (terang benderang) Orang-orang kafir wali mereka ialah taghut dikeluarkan nya mereka dari nur ke dalam gelap gelita. Mereka itulah penghuni neraka serta kekal di dalamnya. (s. al Baqarah 257) Walau bagaimanapun orang beriman dilarang berlaku zalim dan mensyirkkanNya kerana itu akan menghalangnya dari mendapat petunjuk. Firman Allah s.w.t. lagi; Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan iman mereka dengan kezaliman mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. ( S. al An'am 82)
الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ أُولَٰئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ وَهُمْ مُهْتَدُونَ
5. Allah mengurniakan sifat siddik kepada orang beriman kerana keyakinan dan kesungguhan mereka dalam berjihad.
Gelaran yang sangat mulia ini (as Siddik) adalah gelaran yang dianugerah Allah kepada orang beriman yang ‘tidak banyak soal’ dan tidak banyak karenah dalam menunaikan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang serta bersungguhn-sungguh dalam berjuang menegakkan kalimah Allah dengan harta jiwa dan raganya. Semuanya dilakukan dengan keikhlasan serta mencari keredhaanNya. Firman Allah s.w.t.; Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi , serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar. ( S. al Hujurat 15)
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ هُم الصَّادِقُونَ
6. Allah mengurniakan al Qur'an yang akan menjadi penawar dan rahmat kepada orang beriman. Berkat keimanan dan kesungguhannya dalam beramal saleh dengan mengambil panduan kehidupan dari al Quran dan as Sunnah, Allah mengurniakan al Quran sebagai ubat, penawar dan rahmat dariNya. Firman Allah s.w.t.; Dan Kami turunkan dari al Quran itu apa yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (s. al Isra ' 82)
وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
7. . Allah membaiki kehidupan orang beriman.
Orang beriman yang berusaha bersungguh-sungguh melakukan amal saleh serta tidak mensyirikkanNya, mudah-mudahan. Allah akan mengampunkan segala dosa-dosa mereka dan memperbaiki kehidupan mereka. Firman Allah s.w.t.; Dan orang-orang mukmin dan beramal saleh serta beriman kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad dan itulah yang haq dari Tuhan mereka, Allah menghapuskan kesalahan–kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka. ( S. Muhammad 2)
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَآمَنُوا بِمَا نُزِّلَ عَلَىٰ مُحَمَّدٍ وَهُوَ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ ۙ كَفَّرَ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَأَصْلَحَ بَالَهُمْ
8. Allah membalasi kehidupan yang lebih baik.
Orang beriman meyakini kehidupan akhirat yang gemilang dan menjadikan kehidupan dunia sebagai ladang untuk mendapatkan kehidupan akhirat yang gemilang , kekal abadi.Oleh itu mereka akan bersungguh-sungguh melakukan amal saleh yang merangkumi bidang ekonomi, pendidikan , sosial, politik, dakwah dan sebagainya. Firman Allah s.w.t.; Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang dia adalah mukmin maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik. ( s. al Isra' 19)
وَمَنْ أَرَادَ الْآخِرَةَ وَسَعَىٰ لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ كَانَ سَعْيُهُمْ مَشْكُورًا
9. Allah kurnia ganjaran yang baik kerana ketaqwaannya.
Orang beriman sentiasa patuh dan tunduk kepada perintah Allah dan rasulNya serta meninggalkan segala laranganNya. Firman Allah s.w.t.; Katakanlah hai hamba-hambaKu yang beriman, bertaqwalah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia itu memperolehi kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. (s. az Zumar 10)
قُلْ يَا عِبَادِ الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا رَبَّكُمْ ۚ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۗ وَأَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةٌ ۗ إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ
10. Allah kurnia rahmat.
Orang beriman sentiasa bantu membantu dalam urusan dakwah dan amal saleh.Sifat suka tolong-menolong dalam amal saleh menyebabkan mereka dikurnia rahmat oleh Allah. Mereka akan berbincang, nasihat-menasihati, tegur menegur serta berganding bahu dalam segala urusan yang akan memperbaiki kehidupan umat Islam diserata dunia ini sehingga Islam menjadi satu kehidupan yang agung. Firman Allah s.w.t.; Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang maaruf, mencegah dari yang mungkar mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.(S. at Taubah 71)
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
11. Orang beriman mengambil al Qur'an dan as Sunnah sebagai panduan hidup.
Dalam setiap hal al Qur'an dan as Sunnah sentiasa menjadi rujukan dan panduan bagi orang-orang beriman. Firman Allah s.w.t.; Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (s. al Hujurat 10)
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Tidak ada komentar:
Posting Komentar